Perbanyakkan Ingat Akan Kematian

Rasulullah SAW bersabda:
اكثروا من ذكر هاذم اللذات
Ertinya: “Banyakkanlah mengingati sesuatu yang menyebabkan hilangnya kenikmatan dunia(mati)”(HR. Tarmizi).

            Maksudnya selalulah mengingati mati supaya kecintaan kepada dunia beralih kepada mencintai Allah. Ibnu Umar berkata: Aku selalu mengunjungi Nabi SAW dan pernah seorang Ansar bertanya kepada baginda: “Siapa orang yang paling cerdik dan mulia, ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Orang yang paling cerdik dan mulia ialah mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang paling banyak persiapannya untuk itu. Merekalah orang yang paling bijak, mereka pergi menuju akhirat dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat.”
           
Orang mukmin tidak boleh terlalu panjang angan-angannya. Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Abdullah bin Umar, iaitu: “Pada waktu engkau hidup pagi hari jangan fikirkan bahawa engkau akan hidup sampai petang, dan pada waktu petang jangan anggap bahawa engkau akan hidup sampai pagi hari. Manfaatkan masa hidup sebagai bekal untuk matimu dan manfaatkan masa sihat sebagai bekal untuk sakitmu, kerana engkau tidak tahu wahai Abdullah siapa namamu (bagaimana nasibmu) esok”







Masanya Tidak Pasti

Seorang ahli hikmah pernah berkata: “Tali ada pada tangan orang lain. Tidak diketahui pada masa bilakah orang itu akan menarik talinya.”

            Luqman Al-Hakim pernah menasihati anaknya dengan berkata: “Wahai anakku, tidak pasti bilakah datangnya kematian, ia bagaikan sarang lubang tanah yang tidak kelihatan jelas apa yang terkandung di dalamnya. Jadi buatlah persediaan awal dengan mengumpulkan bekalannya. Maut itu akan dating dengan mengejut.”

            Satu perkara yang sangat menghairankan adalah dimana seorang dalam keadaan penuh khayalan kenikmatan dunia dengan berseronok bersama rakan-rakannya dalam satu majlis hiburan yang meriah, tiba-tiba dia mendengar berita bahawa polis sedang mencari dia bersama surat tangkapannya atas satu sebab kesalahan di mana hukumannya adalah sebat lima kali. Bila dia mendengar berita ini maka segala khayalan, kenikmatan dan keseronokan dunia semua akan bertukar dalam sekelip mata kepada satu suasana muram.

            Oleh kerana itu, renungkanlah seketika apakah akan terjadi kepadanya sekiranya dia mengetahui bahawa dia akan ditangkap mungkin pada hari ini atau esok maka adakah dia inginkan satu kehidupan begitu mewah? Adakah dia memerlukan makanan-makanan yang lazat dan tilam empok untuk tidur lena? Tidakkah segala rasa kemewahan, kelazatan dan keenakkan akan bertukar kepada rasa yang amat pahit?

            Begitulah perumpamaan kehidupan seseorang dimana setiap orang sudah faham kematian itu satu yang pasti dan kesakitan sakaratul maut adalah lebih sakit daripada disebat 1000 kali sebatan. Namun dia hidup seolah-olah maut dan sakaratul maut tidak ada bagi dia dan menghabiskan seluruh kehidupan di dalam keadaan lalai. Bukankah ini dikatakan sebagai puncak kepada segala kejahilan dan satu tipudaya yang amat nyata?


No comments:

Post a Comment